Friday, October 2, 2009

Contoh Assigment Perpaduan dan Intergrasi Nasional

Contoh Assigment Perpaduan dan Intergrasi Nasional



PENGHARGAAN

الحمد لله رب العالمين و الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

Kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT di atas segala nikmat kurnianNya yang tidak terhitung banyaknya .

Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat-sahabat yang rela berjuang dan berkorban demi menegakkan Islam tercinta . Kita doakanlah moga–moga kita tergolong dalam golongan orang yang cintakan kebenaran .

Seterusnya saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada pensyarah Ilmu Pendidikan IPG Kampus Dato’ Razali terutamanya atas segala bimbingan dan panduan yang telah diberikan dalam usaha menyiapkan tugasan ini. Semoga usaha beliau dalam mendidik bakal-bakal guru ini mendapat ganjaran di sisi Allah Taala.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan buat rakan-rakan seperjuangan KPLI –KDC ( Bahasa Arab) Ambilan Nov 2008 di Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato’ Razali, Kuala Terengganu.. Terima kasih yang tidak terhingga di atas pengorbanan dan dorongan yang diberikan. Kenangan bersama kalian tetap utuh di ingatan ini . Tidak dilupakan juga buat bonda yang dikasihi, terima kasih kerana sentiasa memahami kesibukan yang saya hadapi. Dan akhir sekali tidak dilupakan juga kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang membantu saya dalam tugasan ini. Ribuan terima kasih saya ucapkan di atas segala bantuan dan pertolongan yang diberikan. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Diharapkan usaha yang sedikit ini dapat memberi ilmu dan pengetahuan kepada kita semua, Insya Allah Taala.

Perpaduan Intergrasi Nasional

Perpaduan Negara adalah satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Integrasi Nasional merupakan satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan diperkongsikan. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Satu Bangsa Malaysia yang kesetiaannya, politik dan kebaktiannya tertumpu kepada bangsa tersebut.

Konsep masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang atau "Caring Society". lebih menekankan kepentingan masyarakat daripada individu, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada perseorangan tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh dan mantap. Selain itu Kerajaan juga telah mewujudkan konsep pemasyarakatan perpaduan yang bertujuan untuk menerapkan ciri-ciri identiti nasional bagi membangunkan bangsa Malaysia berasaskan dua unsur utama iaitu semangat persaudaraan dan kewarganegaraan yang tinggi. Proses penerapan kedua-dua nilai ini dilakukan secara terancang dan tersusun dengan menggunakan segala jentera kemasyarakatan dan prasarana yang wujud seperti pendidikan, media massa, agama dan organisasi sosial dalam masyarakat setempat, samada dijalankan oleh Agensi Kerajaan ataupun bukan kerajaan seperti persatuan-persatuan dan kelab-kelab kebajikan. Seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020, matlamat utama pucuk pimpinan negara ialah untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatupadu, tetapi matlamat ini bukan mudah dicapai kerana banyak sensitiviti yang perlu dijaga. Seperti perasaan kewilayahan, perbezaan kepercayaan antara agama, budaya dan sebagainya.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan telah merangka dan memberi penekanan kepada beberapa dasar dalam bidang sosio-ekonomi yang menjurus kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta integrasi nasional. Dasar-dasar yang dimaksudkan termasuklah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru. Dasardasar tersebut telah diperkukuhkan lagi dengan memperkenalkan ‘Rukun Negara’ sebagai ideologi kebangsaan dan usaha-usaha bagi mengurangkan tindak-tanduk politik boleh memecahbelahkan rakyat menerusi pembentukan ‘Barisan Nasional’. Sebagai tindakan susulan dalam memperlengkap dan memperkukuhkan usaha pembentukan Bangsa Malaysia, beberapa dasar lain telah dibentuk. Antaranya ialah Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Sosial Negara. Pendirian Kerajaan telah ditegaskan lagi dalam pernyataan Wawasan 2020 seperti berikut: Malaysia tidaklah harus menjadi negara yang maju dari segi ekonomi semata-mata tetapi perlu merangkumi semua aspek.

Kita hendaklah mencapai kemajuan sepenuhnya dari segi perpaduan negara dan kesepaduan sosial, ekonomi, keadilan sosial, kestabilan politik, system pemerintahan, mutu kehidupan, nilai-nilai sosial dan kerohanian, selain mempunyai rasa bangga dan keyakinan akan bangsa sendiri.’ Menjelang tahun 2020, Malaysia harus menjadi negara yang bersatupadu, mempunyai masyarakat yang berkeyakinan, nilai moral dan etika yang kukuh, hidup secara demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil serta mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang berdaya saing. Antara isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi nasional di negara ini ialah Tindakan Kerajaan membantu kaum Bumiputera di dalam bidang sosio-ekonomi telah dilihat sebagai satu diskriminasi terhadap kaum-kaum lain. Terdapat sebahagian dari kalangan penganut pelbagai agama di negara ini yang kurang sensitif (peka) dan bertoleransi telah menjejaskan keharmonian kaum di negara ini. Kurangnya semangat partriotisme dan kesukarelaan di kalangan masyarakat boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini. Peningkatan kes-kes gejala sosial di kalangan remaja dan peningkatan kes-kes jenayah boleh mengugat keharmonian serta kesejahteraan masyarakat. Pembangunan ekonomi yang tidak seimbang di antara wilayah khususnya Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia turut membantutkan kelancaran proses integrasi

nasional. Fahaman politik yang melampau dan taksub telah membawa kepada perpecahan di kalangan masyarakat sesama atau antara kaum. Terdapatnya sekatan tertentu terhadap pergerakan yang bebas bagi rakyat Malaysia untuk memasuki Sabah dan Sarawak telah menjejaskan proses integrasi nasional. Media massa lebih gemar memberi liputan luas dan sensasi terhadap isu-isu perpaduan yang berbentuk negatif daripada mempromosi aspek- aspek positif di dalam perpaduan antara kaum.

Selepas 36 tahun peristiwa hitam 13 Mei berlalu, usaha-usaha bagi mengukuhkan lagi perpaduan kaum masih diteruskan. Perpaduan yang jitu masih lagi dicari dan pembentukan Bangsa Malaysia tetap menjadi satu agenda utama negara. Sekiranya soal perpaduan ini tidak diberikan perhatian dan perhubungan masyarakat sentiasa dalam keadaan yang tegang, maka sudah pasti negara berada dalam keadaan goyah dan tidak stabil. Keadaan ini boleh menjejaskan kerancakan pembangunan ekonomi negara dan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 sudah pasti terbantut.

Komentar :

ada 0 comments ke “Contoh Assigment Perpaduan dan Intergrasi Nasional”

Post a Comment

 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN